
PRN MELAKA: ‘MACAMLAH PEMIMPIN MEREKA MALAIKAT’ – ONN HAFIZ
SERKAM 7 November – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas pendekatan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa sering melemparkan pelbagai gelaran negatif terhadap pemimpin BN, sedangkan pemimpin gabungan itu sendiri turut berdepan isu dan kontroversi.
Beliau berkata, pemimpin PH seharusnya turut mencerminkan diri sendiri sebelum mengkritik pihak lawan, termasuk dengan mengambil kira isu yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin dalam gabungan berkenaan.
“Ya, mereka mengatakan pemimpin-pemimpin kita di peringkat BN macam-macam, tetapi tidak ada satu pun dalam ucapan-ucapan mereka, mereka sentuh tentang skandal pemimpin mereka, mereka langsung tidak sentuh tentang korporat mafia, macamlah pemimpin-pemimpin mereka ‘malaikat’.
“Jadi kalau dia nak kata kita, cermin diri sendiri dululah,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah; Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, kritikan terhadap pemimpin politik perlu dibuat secara adil dan tidak hanya tertumpu kepada pihak lawan, sedangkan isu yang membabitkan pemimpin sendiri tidak diberikan perhatian.
Antara perkara yang dibangkitkan beliau ialah isu membabitkan istilah ‘mafia korporat’ yang pernah digunakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ke atas pemimpin PH, selain turut menyentuh kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang yang masih melalui proses perbicaraan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

