PRN MELAKA: BN, PN PERLU BERSATU PERTAHANKAN TIANG SERI NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERKAM 8 November – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu berpadu tenaga serta memperkukuh penyatuan demi mempertahankan asas kenegaraan, termasuk kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik berkata, penyatuan kedua-dua gabungan politik itu penting bagi memastikan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu terus dipelihara.

Menurutnya, perkara berkenaan menjadi antara perkara yang cuba dirobek atau dicuit sebahagian pemimpin dari parti lawan pada masa kini sehingga ada di antaranya sudah mula mempertikai agama, kuasa raja-raja dan sebagainya.

“Inilah asas sebenarnya kenapa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional kena berpadu tenaga pada pilihan raya ini. Perkara ini tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak lagi boleh bekerjasama dengan pihak sana yang dianggap ekstrem. Tidak seperti rakan kita di MCA, MIC dan Gerakan yang menghormati Perlembagaan,” katanya ketika berucap pada Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Datuk Azman Abdullah serta lain-lain kenamaan.

Beliau berkata, perkara berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati semua pihak.

Kamarudin turut membangkitkan beberapa isu yang menurutnya perlu diberikan perhatian, termasuk cadangan kajian semula kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelaksanaan program Jom Ziarah yang mengumpulkan belia Melayu, Cina dan India untuk ke rumah ibadat oleh pihak di ‘sebelah sana’.

“Mereka mahu lihat orang Melayu ini bangkit atau tidak, ini cara mereka cuit,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli parti dan jentera baik daripada PN mahupun BN supaya mengetepikan perbalahan atau perselisihan serta berpadu tenaga dalam memastikan kekuatan gabungan politik yang ada sekarang terus terpelihara.

Beliau turut menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada calon yang mewakili gabungan berkenaan demi memastikan agenda mempertahankan asas Perlembagaan Persekutuan terus diperjuangkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post ANAK MELAKA DIPERANTAUAN BANGGA DENGAN PEMBANGUNAN MELAKA