PRN MELAKA: KJ DESAK PEGUAM NEGARA BERCUTI SEMENTARA SIASATAN POLIS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

REMBIA 7 November – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengambil cuti serta-merta sehingga siasatan polis berhubung laporan yang dibuat terhadap beliau selesai.

Khairy berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan proses siasatan berhubung isu pelaksanaan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat dijalankan secara telus dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

Katanya, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Peguam Negara, termasuk oleh Pemuda UMNO Malaysia, justeru siasatan perlu dilaksanakan mengikut proses sewajarnya.

“Ada beberapa laporan polis yang telah pun dibuat termasuk daripada Pemuda UMNO Malaysia terhadap Peguam Negara.

“Prosesnya sekarang adalah Peguam Negara mesti mengambil cuti kerana beliau sekarang merupakan ‘subject of investigation’. Bila laporan polis dibuat, siasatan mesti dijalankan.

“Maka, saya minta supaya Peguam Negara mengambil cuti sementara,” katanya pada sidang media selepas sesi ramah mesra di Pasar Malam Alor Gajah bersama calon BN bagi DUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Peguam Negara turut menganggotai Lembaga Pengampunan dan sebarang perkara yang dibangkitkan berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat itu sewajarnya dikemukakan ketika mesyuarat lembaga berkenaan berlangsung.

Katanya, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta menghormati hak dan kuasa berperlembagaan Seri Paduka Baginda melalui Lembaga Pengampunan dalam memberikan pengampunan.

“Saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati hak berperlembagaan Seri Paduka Baginda melalui Lembaga Pengampunan untuk memberikan pengampunan.

“Saya tidak tahu kenapa perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Peguam Negara itu tidak dibangkitkan sewaktu mesyuarat Lembaga Pengampunan yang telah pun memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Tambahnya, tempoh antara keputusan Lembaga Pengampunan dengan kenyataan Peguam Negara berhubung perkara itu juga menimbulkan persoalan kerana kenyataan berkenaan hanya dikeluarkan beberapa minggu kemudian, selepas bayaran RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat pengampunan diselesaikan.

Katanya, perkara berkenaan menimbulkan persoalan mengenai masa kenyataan tersebut dikeluarkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post SULAIMAN YAKIN ABDUL HAKIM MAMPU WARISI KEPERCAYAAN PENGUNDI LENDU
Next post BEMBAN BERPOTENSI JADI KERUSI KEMENANGAN MUAFAKAT MELAKA – AB RAUF