
BEMBAN BERPOTENSI JADI KERUSI KEMENANGAN MUAFAKAT MELAKA – AB RAUF
BEMBAN 7 November – Kesepakatan jentera Barisan Nasional (BN) bersama calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Bemban dilihat mampu menjadi faktor penentu dalam usaha meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen ditunjukkan jentera BN di kawasan itu membuktikan kerjasama politik yang dibentuk bukan sekadar penyatuan di atas kertas sebaliknya diterjemahkan menerusi gerak kerja di lapangan.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, jentera BN sudah memberikan komitmen sepenuhnya termasuk menyelaraskan portfolio dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan sokongan terhadap calon PN Dr. Yadzil Yaakub dapat digerakkan secara menyeluruh.
“Saya lihat DUN Bemban juga boleh memberikan satu kerusi kepada muafakat Melaka ini dan kebersamaan ini akan membuahkan hasil.
“Apabila saya bergerak bersama jentera UMNO dan BN mereka memberikan komitmen tidak berbelah bahagi untuk kita sama-sama menterjemahkannya pada 14 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau gerak kerja jentera di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Calon dan juga penyandang DUN Bemban Dr. Yadzil Yaakub serta kenamaan lain
Mengulas lanjut, Ab Rauf menegaskan beliau turut memberikan sokongan penuh kepada Dr. Yadzil yang pernah bersama-sama dengannya ketika berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
“Saya meletakkan harapan agar Dr. Yadzil yang pernah menjadi ketua pembangkan negeri ini dapat kembali ke blok kerajaan bagi bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Melaka menerusi kesepakatan yang lebih kukuh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


