
25,000 PELUANG KERJA BERSANDARKAN STRATEGI PELABURAN – AB RAUF
BEMBAN 7 November – Sasaran menyediakan 25,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun bukan angka yang diumumkan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berpaksikan strategi menarik pelaburan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor industri di negeri ini.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap pelaburan baharu yang dibawa masuk ke Melaka mempunyai potensi membuka peluang pekerjaan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat tempatan.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka berkata, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan tersusun untuk merealisasikan sasaran berkenaan dan tidak akan mengemukakan komitmen sedemikian tanpa asas serta kemampuan melaksanakannya.
“Kita tidak mengumumkan kalau kita tidak mempunyai rancangan yang baik.
“Kita masih lagi terus memberikan gambaran kepada rakyat Melaka bahawa kita ada kemampuan, kita ada kewibawaan untuk memberikan peluang pekerjaan kepada 25,000 rakyat Melaka dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan bekas Ketua Menteri Adly Zahari yang mempersoalkan sasaran 25,000 pekerjaan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Perikatan Nasional (PN) bagi tempoh lima tahun.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau gerak kerja jentera di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Calon dan juga penyandang N.24 DUN Bemban Dr. Yadzil Yaakub serta kenamaan lain
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, strategi menarik pelaburan perlu dilihat sebagai antara pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan kerana kehadiran industri memerlukan tenaga kerja bagi menyokong operasi masing-masing.
“Setiap satu pelaburan yang masuk, ia memerlukan tenaga kerja.
“Saya sarankan beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri Melaka itu untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut sebelum mempersoalkan sasaran pekerjaan ini dan sebelum membuat sebarang tafsiran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


