
DR. YADZIL ERATKAN KESEPADUAN JENTERA BN-PN DI BEMBAN
BEMBAN 7 November – Kesepaduan jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban menunjukkan perkembangan amat positif apabila kesemua sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN selesai dikunjungi calon PN Dr. Yadzil Yaakub.
Menurut calon nombor 3 itu, usaha tersebut menjadi sebahagian langkah menyelaraskan gerak kerja kedua-dua jentera bagi memastikan kerjasama politik yang dibentuk dapat diterjemahkan kepada kekuatan di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga penyandang DUN Bemban itu berkata, meskipun terdapat sedikit kesalahfahaman pada peringkat awal, pendekatan bersemuka dan perbincangan bersama jentera BN membantu mewujudkan keserasian dalam menghadapi PRN Melaka Ke-16.
“Pada awalnya mungkin ada sedikit halangan, tetapi saya cuba selaraskan gerak kerja dan harmonikan jentera antara BN dan PN.
“Alhamdulillah, kesemua sembilan PDM BN dalam DUN Bemban ini sudah saya kunjungi untuk menyatakan hasrat serta memberikan kata-kata semangat supaya kita sama-sama bergerak seiring mencapai kejayaan pada 14 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang hadir meninjau gerak kerja jentera di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban, di sini, hari ini.
Mengulas peluang mempertahankan kerusi DUN Bemban, Dr. Yadzil berkata, beliau tidak mengambil mudah persaingan dengan calon lain dan akan terus mendekati pengundi bagi mendapatkan keyakinan mereka.
Jelasnya, pengalaman sebagai wakil rakyat sebelum ini menjadi antara kelebihan untuk memahami keperluan masyarakat, namun keputusan tetap diserahkan kepada pengundi.
“Saya tidak menganggap enteng lawan. Selagi belum tutup peti undi, saya anggap saya belum menang.
“Rakyat perlu memilih wakil rakyat yang memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah mereka, bukan sekadar memikirkan populariti,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


