
ISU NAJIB: DR. AKMAL ARAH JENTERA PEMUDA UMNO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP PEGUAM NEGARA
SUNGAI RAMBAI 7 November – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengarahkan seluruh jentera Pemuda UMNO di negara ini membuat laporan polis terhadap Peguam Negara berhubung isu penangguhan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan kenyataan Peguam Negara berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan bagi membolehkan semakan undang-undang dilakukan, meskipun proses mengumpul sumbangan RM50 juta bagi membantu Najib didakwa sudah diselesaikan.
Menurutnya, laporan polis itu perlu dibuat kerana beliau mendakwa terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam tindakan Peguam Negara berhubung isu berkenaan.
“Sebahagian ahli UMNO termasuk saya sendiri menyumbang sedikit demi sedikit, ada yang RM50 dan RM20 kerana kita mahu membantu pemimpin kita. Alhamdulillah, duit sudah cukup dan kita bayar.
“Tapi, tiba-tiba Peguam Negara keluarkan kenyataan untuk menangguhkan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebab nak buat semakan undang-undang.
“Sebab tu saya tanya, dari bulan 9 sampai ni dah bulan 11, takkan Peguam Negara tak semak undang-undang,” katanya ketika berucap pada Lawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke DUN Sungai Rambai di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Dr. Muhamad Akmal turut membangkitkan dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa BN menderhaka kepada institusi raja di Negeri Sembilan, sedangkan mereka mempersoalkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu tahanan rumah Najib.
“Dia cakap kita dekat Negeri Sembilan derhaka, tetapi di sini sudah terang-teranglah.
“Eh, titah Tuanku pun kamu tidak mahu laksanakan, saya mahu tanya siapa yang derhaka ini? Siapa yang derhaka ini?” soalnya.
Dalam perkembangan sama, Akmal turut mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang tidak bersetuju dengan usaha UMNO mengumpul sumbangan bagi membantu Najib.
Katanya, kutipan berkenaan menggunakan wang ahli parti dan orang awam, bukannya dana kerajaan, justeru ia tidak wajar dipertikaikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

