
PRN MELAKA: FORMULA KERJASAMA BN-PN PERLU DIBUKTIKAN DI PETI UNDI – KJ
REMBIA 8 November – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS bersama rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN) perlu diterjemahkan melalui pemindahan sokongan pengundi bagi memastikan formula itu mampu menghasilkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, kata Khairy Jamaluddin.
Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO itu, kerjasama antara parti tidak akan memberikan hasil sekiranya penyokong gagal memberikan undi kepada calon parti rakan yang bertanding di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pengundi yang sebelum ini menyokong PAS atau PN, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, perlu memberikan sokongan kepada calon BN memandangkan parti berkenaan tidak meletakkan calon di kawasan itu.
“Kita mahu lihat sekiranya formula itu (kerjasama politik) boleh diterima dan menghasilkan kemenangan. Maksudnya pengundi PAS beri undi kepada calon BN.
“Tidak guna kita ada strategi dan kerjasama tetapi tidak ada pemindahan pengundi.
“Ini bermaksud sekiranya tiada calon daripada parti yang disokong tetapi ada parti yang bekerjasama, berilah undi kepada calon itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra di Pasar Malam Alor Gajah bersama calon BN bagi DUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pemindahan sokongan antara parti penting bagi menguji sejauh mana formula kerjasama politik itu dapat diterima pengundi serta berupaya menghasilkan kemenangan kepada BN di Melaka.
“Tidak kira PAS ataupun parti lain yang bertanding, pengundi dan penyokong BN perlu memberikan sokongan kepada mereka. Itu yang kita merayu supaya ada pemindahan pengundi.
“Contohnya di Rembia, yang dulu menyokong PAS ataupun yang dulu menyokong Perikatan Nasional, sokonglah calon Barisan Nasional kerana mereka tidak bertanding di sini.
“Jika kita tengok dari segi formula itu, kalau sudah boleh dipakai di Negeri Sembilan, insya-Allah akan diterima di Melaka,” katanya.
Jelas beliau, kejayaan pelaksanaan formula berkenaan di Melaka juga berpotensi menjadi petunjuk kepada pendekatan kerjasama politik yang mungkin digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

