
PRN MELAKA: NORAZRIL PERHEBAT KEMPEN FIZIKAL, DIGITAL MINGGU TERAKHIR
REMBIA 9 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz akan melipatgandakan usaha mendekati pengundi menerusi kempen secara bersemuka dan media sosial menjelang minggu terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, tempoh berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat ditemui dan didekati.
Menurutnya, maklum balas positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen setakat ini turut meningkatkan keyakinannya untuk meraih kemenangan di kerusi berkenaan.
“Daripada segi gerak kerja, tentunya kita akan melipatgandakan usaha kerana masa yang tinggal semakin suntuk, iaitu kira-kira seminggu lagi.
“Kita akan berusaha bertemu seramai mungkin pengundi terutama secara fizikal selain memastikan kempen menerusi media sosial terus berjalan.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan mereka memilih BN,” katanya ketika ditemui selepas sesi walkabout di sekitar Pekan Alor Gajah, di sini.
Mengulas agenda yang ingin dibawa sekiranya diberi mandat pada pilihan raya ini, Ahmad Norazril berkata, pembangunan dan kebajikan golongan belia akan menjadi antara keutamaannya.
Katanya, perhatian khusus akan diberikan kepada penyediaan lebih banyak aktiviti sukan, pendidikan serta program yang bersesuaian dengan minat golongan muda.
“Tentunya belia ini memerlukan perhatian dan kasih sayang. Jadi, untuk itu kita bukan sahaja perlu kerap bersama mereka tetapi perlu sentiasa mengadakan aktiviti yang mereka minat seperti e-sukan atau program santai lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

