PRN MELAKA: AB RAUF BAYANG BERLAKU PERUBAHAN BESAR LANDSKAP POLITIK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KESIDANG 8 November – Kerjasama politik menerusi Muafakat Melaka berpotensi menjadi permulaan kepada satu perubahan besar landskap politik negara apabila gagasan itu diperluas ke peringkat nasional menerusi Muafakat Malaysia.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) itu berupaya menghimpunkan parti-parti komponen serta rakan gabungan kedua-dua pihak dalam satu gerakan politik yang lebih besar.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama itu berjaya direalisasikan, ia bakal menyaksikan parti-parti yang berada dalam kedua-dua gabungan bergerak bersama sebagai satu ketumbukan bagi membawa agenda politik mereka ke peringkat Persekutuan.

“Kalau Barisan Nasional, kita bawa rakan-rakan kita seperti MIC, MCA, PPP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kalau di Perikatan Nasional, mereka akan membawa semua rakan parti komponen dan kita bergabung menjadi satu ketumbukan yang kuat untuk bergerak menuju ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, keputusan di DUN Kesidang pada PRN Melaka Ke-16 juga dilihat penting kerana mampu menjadi isyarat awal kepada perkembangan lebih besar dalam kerjasama politik berkenaan.

Katanya, kejayaan gabungan itu di kerusi berkenaan akan memperlihatkan permulaan kepada gerakan yang lebih luas, sekali gus membuka laluan ke arah pembentukan Muafakat Malaysia.

“Itulah yang saya katakan tadi, akan berlaku satu perubahan yang cukup besar sekiranya kita berjaya di DUN Kesidang.

“Ia menunjukkan satu isyarat yang cukup besar bahawa gerakan di Melaka ini akan membuka langkah yang lebih baik menuju Putrajaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TOK JEZ KETUK PINTU RUMAH KE RUMAH, DEKATI PENGUNDI SUNGAI RAMBAI
Next post PRN MELAKA: DAH MACAM BULAN PUASA, RAKYAT TAK SABAR TUNGGU ‘BERBUKA’ – AB RAUF