
MACHAP JAYA YAKIN MAMPU SUMBANG KEMENANGAN BESAR BUAT BN
MACHAP JAYA 9 November – Barisan Nasional (BN) yakin mampu menyumbang kemenangan besar di N.08 Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, keyakinan itu diletakkan berlandsaskan kepada perkembangan gerak kerja jentera parti yang positif di DUN Machap Jaya.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, keyakinan itu turut didorong suasana semasa yang disifatkan memperlihatkan rakyat mahukan sebuah pasukan yang kuat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
“Saya lihat jentera bekerja dengan begitu baik. Saya yakin DUN Machap Jaya juga boleh menyumbang satu kerusi kepada BN-Perikatan Nasional (PN) iaitu Muafakat Melaka, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Bilik Gerakan DUN Machap Jaya di Taman Lesung Batu Impian, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan; Calon BN N.08 DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sokongan rakyat pada PRN kali ini penting bagi membolehkan misi pembangunan negeri yang dirancang untuk tempoh lima tahun akan datang diteruskan, selain memastikan segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Kesinambungan pentadbiran juga penting bagi memastikan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan, sekali gus menjadikan keperluan dan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

