
PRN MELAKA: POLIS MELAKA TERIMA 19 LAPORAN BUKA 18 KERTAS SIASATAN
AYER KEROH 10 November – Sebanyak 19 laporan diterima Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Melaka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan laporan yang diterima pihaknya membuka 18 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk perbuatan khianat dan pergaduhan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan perbuatan khianat menggunakan api, termasuk membakar bendera parti.
“Setakat hari ini sebanyak 19 laporan polis sudah diterima dengan 18 kertas siasatan dibuka dan kebanyakkan membabitkan kes khianat termasuk khianat menggunakan api.
“Kami juga meneria laporan mengikut Akta Hasutan dan Akta Ugutan bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya pada sidang media selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Serbaguna, IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, PRN Melaka setakat ini berjalan lancar dan dalam suasana aman tanpa merekodkan sebarang kejadian serius yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Seramai 669 anggota ditugaskan sepanjang tempoh berkempen. Sementara itu pada hari pengundian 14 November nanti seramai 3,332 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan perjalanan PRN Melaka lancar,” katanya.
Jelas beliau, pasukan khas atau ‘team cantas’ turut digerakkan bagi menangani sebarang kekecohan serta mengambil tindakan terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang.
Terdahulu, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Seri Michael Gan, turut hadir meninjau pusat pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


