UMNO SEDIA DEDAH BUTIRAN KUTIPAN DANA RM50 JUTA KEPADA PIHAK BERWAJIB – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – UMNO bersedia memberikan penjelasan serta mendedahkan maklumat terperinci berhubung kutipan dana RM50 juta menerusi tabung yang diwujudkan parti itu kepada pihak berwajib sekiranya diperlukan.

Presidennya, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung yang dibuka oleh Ibu Pejabat UMNO itu sudah ditutup selepas jumlah kutipan mencapai sasaran RM50 juta.

Beliau berkata, kutipan berkenaan dilaksanakan menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) yang menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan bukan ahli UMNO.

Menurutnya, sumbangan turut diterima daripada struktur parti di peringkat cawangan, bahagian serta perhubungan UMNO negeri.

“Kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib kerana kita telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib dan kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man; calon Barisan Nasional (BN) N.11 Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; calon BN N.12 Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata, wang kutipan berkenaan disalurkan selepas dimasukkan ke dalam akaun yang diamanahkan kepada Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Katanya, pengurusan kutipan dana itu dilaksanakan dengan memastikan garis panduan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh semua peringkat struktur parti.

Pada 18 September lalu, UMNO melancarkan tabung berkenaan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Pembayaran denda itu merupakan syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, di mana UMNO mengumumkan pembayaran berkenaan telah selesai pada 6 November lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post TPM CADANG 10,250 JAWATAN TETAP UNTUK PEGAWAI, KAKITANGAN KEMAS
Next post PRN MELAKA: UNDI AWAL SELESAI, SEMUA 31 PUSAT MENGUNDI DITUTUP