
PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN ROSLI MAMPU GALAS TANGGUNGJAWAB DI KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 10 November – Sikap merendah diri dan mudah didekati menjadi kelebihan buat Datuk Rosli Abdullah untuk memikat seterusnya sekali lagi mendapatkan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat di N.01 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, dengan masyarakat pelbagai latar belakang DUN Kuala Linggi memerlukan pemimpin yang berpengalaman luas, khususnya dalam memahami kehendak dan keperluan rakyat.
“Rosli mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang bersesuaian untuk memikul tanggungjawab berkenaan. Sudah tentu peluang perlu diberikan kepada golongan muda untuk menyertai kepimpinan, namun pengalaman dan kematangan tetap menjadi aspek penting dalam memastikan amanah sebagai wakil rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.
“Pemilihan seseorang wakil rakyat perlu dibuat secara teliti kerana keputusan pengundi akan menentukan hala tuju kawasan dan masa depan masyarakat yang diwakilinya,” katanya ketika berucap pada Lawatan ke DUN Kuala Linggi di Bilik Gerakan DUN Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN N.01 DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata meskipun Rosli dikenali sebagai seorang yang merendah diri, berhemah dan lembut dalam berbicara masyarakat tidak seharusnya memandang rendah keupayaan calon berkenaan.
“Walaupun dia mempunyai satu perwatakan yang lembut, tidak keras, berhemah dan merendah diri, tetapi jangan pandang ringan. Dia mempunyai satu kelebihan yang orang lain tak ada, dan saya pun tidak ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


