NELAYAN KUALA LINGGI BAKAL DIBANTU TEROKA AKTIVITI AKUAKULTUR

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LINGGI 10 November – Aktiviti akuakultur termasuk ternakan ikan dalam sangkar, kerang, kepah dan udang sedang dipertimbangkan sebagai sumber pendapatan alternatif kepada nelayan di Kuala Linggi susulan pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi membantu komuniti nelayan sekiranya pembangunan pelabuhan berkenaan memberi kesan terhadap hasil tangkapan ikan mereka.

Menurutnya, beliau bersama calon Barisan Nasional (BN) N.01 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah sedang memikirkan pendekatan bersesuaian bagi memastikan nelayan mempunyai peluang menjana pendapatan menerusi aktiviti akuakultur.

“Walaupun nanti ada kesan kepada nelayan tentang hasil tangkapan ikan, saya dengan YB Rosli dalam kerajaan sedang memikirkan untuk membantu nelayan supaya kawasan-kawasan strategik nanti kita jadikan pusat akuakultur.

“Kita boleh ternak ikan dalam sangkar, bela kerang, udang dan kepah yang sedang disusun supaya membantu para nelayan tidak perlu ke laut, tetapi masih boleh mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan ke DUN Kuala Linggi di Bilik Gerakan DUN Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Ab Rauf turut menyebut persetujuan nelayan terhadap pembangunan KLIP sebagai antara perkara yang membolehkan projek berkenaan diteruskan.

“Kalau nelayan tidak bersetuju, tidak akan wujud pelabuhan Kuala Linggi. Nelayan sudah bersetuju dan mereka juga sudah menandatangani persetujuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN SASAR MENANG LEBIH 21 KERUSI DUN – AHMAD ZAHID