
LIMA AGENDA PERKUKUH EKOSISTEM DATA RAYA MELAKA
BANDARAYA MELAKA 11 November – Kerajaan Negeri menggariskan lima agenda utama bagi memperkukuh ekosistem Data Raya negeri, termasuk memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan integrasi perkongsian data antara agensi.
Setiausaha Bahagian, Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz berkata, langkah itu penting bagi memastikan penggunaan data dapat dimanfaatkan secara optimum dalam proses pentadbiran dan membuat keputusan kerajaan.
Menurutnya, lima agenda berkenaan ialah memperkukuh integrasi dan perkongsian data antara agensi, memperluas penggunaan analitik lanjutan dan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran kerajaan.
“Ketiga, memastikan setiap dashboard dan sistem analitik yang dibangunkan benar-benar digunakan dalam proses membuat keputusan, memperkukuh pembangunan bakat dan budaya kerja berasaskan data.
“Diikuti keempat memperkukuh pembangunan bakat dan budaya kerja berasaskan data dan terakhir memperluas kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi serta pihak industri.
“Kita memerlukan lebih ramai penjawat awam yang bukan sahaja mampu membaca data, tetapi juga berupaya mentafsir, menganalisis dan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Data Raya Negeri Melaka Tahun 2026 bertemakan ‘Memacu Keputusan Pintar, Perkhidmatan Efisien Rakyat Sejahtera’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak, Prof. Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Mengulas lanjut, Shamsul Ambia berkata, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada peluasan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi dan pihak industri bagi memanfaatkan kepakaran penyelidikan serta inovasi teknologi.
“Justeru, saya berharap kelima-lima agenda berkenaan dapat terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Data Raya Negeri Melaka 2035 (PPDR 2035) dengan sokongan dan komitmen semua pihak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

