TUNJUK ‘JARI BERCELUP’, NIKMATI DISKAUN 10 PERATUS MASUK ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 12 November – Jari bertanda dakwat pilihan raya bukan sekadar bukti sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, malah boleh menjadi tiket menikmati diskaun 10 peratus di Zoo Melaka pada 14 November ini.

Tawaran khas itu diberikan kepada pengundi atau rakyat Melaka yang menunjukkan bukti jari bertanda dakwat pilihan raya serta mengemukakan kad pengenalan bagi mengesahkan alamat mereka di Melaka.

Zoo Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, diskaun berkenaan sah untuk pembelian tiket masuk di kaunter zoo sahaja, bermula dari 9 pagi hingga 4 petang pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Bagaimanapun, tawaran itu hanya terpakai kepada individu yang mengundi dan tidak meliputi ahli keluarga atau pengiring yang tidak menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Zoo Melaka memaklumkan waktu operasinya pada hari berkenaan ditetapkan dari 9 pagi hingga 6 petang, manakala kaunter tiket ditutup pada 5 petang.

Perubahan waktu operasi itu dibuat bagi memberi peluang kepada kakitangan dan vendor zoo menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan masing-masing.

Perkhidmatan lain termasuk kaunter memberi makan haiwan, perkhidmatan trem, kaunter foto dan kiosk jualan pula beroperasi dari 11 pagi hingga 6 petang.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan haiwan yang dijadualkan berlangsung pada 12.30 tengah hari, 2.30 petang dan 4 petang.

Orang ramai yang ingin menikmati tawaran berkenaan perlu membeli tiket di kaunter Zoo Melaka dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post KERAJAAN TAWAR PEMBIAYAAN RM14,000 SEHEKTAR UNTUK TANAM SEMULA SAWIT
Next post SEMBOYAN 14 NOVEMBER: LANGKAH BAHARU BN-PN MENUJU PUTRAJAYA