KECELARUAN POLITIK SEMASA, PELUANG CERAH BN-PN MENANG LEBIH 21 KERUSI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TABOH NANING 12 November – Kecelaruan politik di peringkat Persekutuan ketika ini dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan politik semasa berpotensi mempengaruhi penilaian rakyat terhadap parti-parti yang bertanding, sekali gus memberikan kelebihan kepada gabungan BN-PN untuk meraih lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, ketidakpuasan hati rakyat terhadap beberapa perkembangan politik semasa, termasuk isu berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong, dilihat menjadi antara perkara yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.

“Apabila berlaku kecelaruan politik melibatkan beberapa kes semasa, kita lihat bahawa kesempatan ini digunakan oleh rakyat untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah-langkah yang diambil oleh pihak sebelah sana kerana seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tak nak komen lebih-lebih, ini politik, ini pilihan raya. Keutamaan saya adalah mencari jalan bagaimana Melaka nak menang. Kalau rakyat rasa dan berfikir kita (BN-PN) lebih baik, maka pilih antara yang paling baik demi kebaikan kita bersama.

“Pen Merah, Pen Biru, Undi Biru, I Love You,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke DUN N.05 Taboh Naning di Bilik Gerakan DUN Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi kerusi DUN Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta wakil parti komponen BN dan PN.

Terdahulu, ketika berucap pada program sama, Ab Rauf yang juga calon BN bagi kerusi DUN N.02 Tanjung Bidara berkata, BN meletakkan sasaran untuk memenangi kesemua 21 kerusi yang ditandingi, dengan turut mengambil kira sumbangan kemenangan daripada rakan strategik.

Katanya, daripada keseluruhan 21 kerusi yang pada asalnya diperuntukkan kepada BN, tujuh diberikan kepada rakan strategik, namun dua daripadanya dipulangkan semula.

“Kita jangka akan menang di 21 kerusi, sementara itu rakan strategik pula sumbang dua kerusi. Namun berdasarkan suasana kecelaruan politik semasa, tidak mustahil kita boleh menang hingga 25 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka,” katanya.

Keyakinan itu sekali gus memperlihatkan BN-PN meletakkan sasaran lebih besar dalam PRN kali ini, dengan perkembangan politik semasa dilihat sebagai antara faktor yang berpotensi mempengaruhi sokongan pengundi menjelang hari penentuan pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

220
Kongsi :
Previous post SEMBOYAN 14 NOVEMBER: LANGKAH BAHARU BN-PN MENUJU PUTRAJAYA