
PRN MELAKA: ‘KENAPA ISU HANYA TIMBUL SELEPAS DUA BULAN?’ – ISMAIL SABRI
RIM 12 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan kelewatan membangkitkan isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, sedangkan keputusan mengenainya didakwa telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan pada September lalu.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila isu pelaksanaan keputusan berkenaan hanya dibangkitkan semula pada November, iaitu selepas kira-kira dua bulan.
Menurutnya, Peguam Negara yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan sewajarnya mengetahui keputusan yang telah dibuat oleh badan berkenaan.
“Jadi saya rasa ini tindakan yang amat tidak wajar, lebih-lebih lagi keputusan dibuat bulan September, tapi bulan November pula timbul isu.
“Kenapa tunggu sehingga dua bulan lebih untuk membuat pembetulan kalau ada kesilapan?” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout di Taman Seri Chinchin, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) N.25 DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusan berkaitan tahanan rumah bersyarat Najib dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan mempunyai peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan sewajarnya dilaksanakan dan tidak sepatutnya terus dipertikaikan selepas dimuktamadkan.
“Sepatutnya terus melaksanakan apa yang diputuskan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


