PRN MELAKA: PENGUSAHA TRAK TUNDA HARGAI KEPIMPINAN TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 November – Komuniti pengusaha trak tunda (tow truck) di Melaka menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai pemimpin yang mesra rakyat dan rendah diri, selain menghargai kesudian beliau mendekati komuniti itu menerusi program ramah mesra.

Pengusaha trak tunda dari Malim Jaya, Nurul Aswad Ab Wahab, 43, berkata pendekatan berkenaan memberi ruang kepada pengusaha sektor itu untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negeri, sekali gus menyampaikan pandangan serta harapan mereka.

Dia turut menyifatkan Ab Rauf atau lebih mesra disapa Tok Rauf sebagai pemimpin yang mudah didekati dan menghargai komuniti pengusaha trak tunda yang turut menjadi sebahagian daripada ekosistem perkhidmatan bantuan kecemasan di negeri ini.

Malah, dia turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran BN, yang menurutnya membawa perubahan positif kepada pembangunan Melaka.

“Sokongan penuh kami berikan kepada Tok Rauf. Kita nampak Melaka semakin maju dan semakin dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ramah Mesra Bersama Pengusaha Towing Truck di sebuah restoran, di sini, pada Khamis.

6316801431402386799
NURUL Aswad bersama keluarganya. Foto Afiq Mustaffa

Dalam pada itu, Nurul Aswad mewakili komuniti pengusaha trak tunda turut menyuarakan harapan agar persepsi negatif segelintir masyarakat yang sering melabelkan mereka sebagai ‘samseng’ atau ‘gangster’ jalanan dapat diubah kerana hakikatnya mereka memainkan peranan membantu orang ramai ketika berdepan kecemasan dan kemalangan.

“Ramai yang berpandangan sinis terhadap komuniti towing ini. Mereka ingat kita gangster atau samseng, sedangkan sebenarnya kami membantu rakyat ketika berlaku kecemasan dan kemalangan,” katanya.

Dia turut berharap komuniti itu akan dipandang sama seperti komuniti p-hailing dan e-hailing dengan mempertimbangkan insentif khas bagi membantu pengusaha lori tunda menampung kos penyelenggaraan jentera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AZRIL JANJI TERUS TURUN PADANG, TANGANI ISU INFRASTRUKTUR REMBIA