PRN MELAKA: AZRIL JANJI TERUS TURUN PADANG, TANGANI ISU INFRASTRUKTUR REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

REMBIA 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz berjanji akan meneruskan rutin turun padang menyantuni rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Calon nombor 2 itu berkata, antara perkara pertama yang akan dilakukannya selepas PRN Melaka Ke-16 tamat adalah mengunjungi pasar minggu, seperti rutin kebiasaan yang dilakukannya sebelum ini.

Menurutnya, komitmen itu selari dengan pendekatan untuk terus mendekati masyarakat dan mendengar sendiri keperluan penduduk setempat, selain pelan pembangunan yang digariskan menerusi manifesto ‘Tekad Keluarga Rembia’.

“Saya sudah ada aku janji di bawah Tekad Keluarga Rembia, namun rutin menyantuni rakyat akan tetap saya teruskan seperti sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Walkabout di Taman Kelemak Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang siri tinjauan mesra di sekitar Rembia, Azril berkata, kebanyakan aduan diterima berkaitan penyelenggaraan kemudahan asas, termasuk kebersihan dan keadaan longkang di kawasan perumahan.

Katanya, setakat ini tiada aduan berkaitan isu besar atau kritikal dibangkitkan penduduk, sebaliknya perkara yang memerlukan perhatian lebih tertumpu kepada penyelenggaraan rutin.

“Tiada isu yang besar, ia cuma dari segi pembersihan penyelenggaraan yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan tetap perlu diberi perhatian kerana penyelenggaraan kemudahan asas yang baik penting bagi memastikan keselesaan penduduk, dan komited untuk mengusahakan penambahbaikan sekiranya diberi mandat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

225
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TENGAH MALAM YB ALONG TURUN, KEPRIHATINAN DIKENANG PENDUDUK ASAHAN