PRN MELAKA: LIMA TAHUN BERKHIDMAT TEMPOH KEMPEN SEBENAR TOK AJAK DI TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TELOK MAS 13 November – Tempoh berkempen selama 14 hari bukan satu-satunya ukuran usaha meraih sokongan pengundi, sebaliknya rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Ajak berkata, tempoh kempen rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir hari ini bukanlah penamat kepada usahanya mendekati masyarakat kerana khidmat kepada penduduk sudah menjadi rutin sepanjang lima tahun memegang amanah sebagai wakil rakyat.

“Saya tidak ada hari terakhir berkempen kerana sepanjang lima tahun ini saya sentiasa berkempen dan dalam masa dua minggu ini adalah yang ditetapkan oleh SPR saja.

“Apa yang saya lakukan selama lima tahun ini, saya ulang saja balik. Kemudian itulah rutin saya selama lima tahun sebagai penyandang di DUN Telok Mas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, hari ini.

Menurutnya, tempoh kempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi peluang kepada pengundi menilai semula khidmat serta sumbangan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat.

Katanya, beliau yakin penduduk Telok Mas mampu membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatan itu sebelum menentukan pilihan pada hari pengundian esok.

Dalam pada itu, calon nombor 2 itu merayu pengundi di DUN Telok Mas supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dengan memberikan mandat kepadanya untuk terus berkhidmat.

“Saya mohon kepada semua pengundi, terutamanya di dalam DUN Telok Mas ini, bagilah undi kepada saya dan jangan lepaskan tanggungjawab kerana tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia harus menunaikan tanggungjawab iaitu harus keluar beramai-ramai untuk mengundi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post KEPUTUSAN PRN MELAKA TIDAK GUGAT PUTRAJAYA – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: BAKI KEMPEN DIMANFAATKAN, SITI AISYAH JEJAK PENGUNDI HINGGA SAAT AKHIR