
BANGUN SEAWAL 3 PAGI, UNCLE WONG KAYUH BASIKAL TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI
DUYONG 14 November – Tidak sabar menantikan hari pengundian, Uncle Wong sanggup bangun seawal jam 3 pagi sebelum mengayuh basikal ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.
Menurut Uncle Wong, keterujaannya untuk mengundi menyebabkan beliau tidak dapat melelapkan mata seperti kebiasaan, malah sudah bersiap seawal tengah malam untuk menghadapi hari penting berkenaan.
“Saya bangun pukul 3 pagi. Tak boleh tidur sebab nak mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi di SK Seri Duyong, di sini.
Lebih menarik, warga emas itu memilih untuk mengayuh basikal bagi hadir ke pusat mengundi, sekali gus memperlihatkan kesungguhannya untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Bukan sahaja dirinya, malah beliau turut memastikan ahli keluarganya tidak ketinggalan apabila anak-anaknya yang menetap di Singapura dan Kuala Lumpur turut pulang bagi menunaikan tanggungjawab sama.
Katanya, beliau juga sudah berpesan kepada anak-anak supaya keluar mengundi kerana setiap rakyat mempunyai tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara.
Dalam masa sama, Uncle Wong turut menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi dan menggunakan hak masing-masing pada pilihan raya kali ini.
“Semua orang kena ajak orang ramai keluar mengundi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


