PRN MELAKA: KEPUTUSAN TIDAK RASMI BN-PN PEROLEH MAJORITI MUDAH MENANG 18 KERUSI DUN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH, 14 November – Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat jam 8.15 malam ini, berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan BN melepasi sasaran majoriti mudah 18 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Suasana di Command Center BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam ini, meriah dengan lautan biru penyokong parti yang mengikuti perkembangan keputusan pilihan raya berkenaan.

Keputusan semasa pengiraan undi bagi kesemua 28 kerusi DUN dipaparkan menerusi siaran langsung yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

Turut hadir mengikuti perkembangan keputusan PRN Melaka Ke-16 ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Dr Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta beberapa kenamaan lain.

Command Center itu turut menjadi tumpuan pengamal media yang berkumpul bagi membuat liputan dan mendapatkan perkembangan terkini keputusan pilihan raya berkenaan.

Keputusan rasmi PRN Melaka Ke-16 dijangka diumumkan pada jam 9 malam ini.

Berdasarkan keputusan semasa, BN mendahului dengan kemenangan di 17 kerusi antaranya DUN Tanjung Bidara, Sungai Udang, Asahan, Lendu, Telok Mas dan Rim.

Turut mendahului kiraan DUN Kuala Linggi; Ayer Limau, Taboh Naning dan Sungai Rambai, Machap Jaya, Merlimau dan Paya Rumput.

Berita lanjut menyusul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

817
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: COMMAND CENTER BN JADI TUMPUAN
Next post (TAK RASMI) PRN MELAKA: BN-PN BENTUK KERAJAAN, RAIH MAJORITI DUA PERTIGA