‘INI SATU AMANAH YANG DIGALAS PENUH IKHLAS, JUJUR’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 15 November – Pelantikan semula Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka disifatkan bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang akan digalas dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan.

Ab Rauf berkata, beliau menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam terhadap pelantikannya untuk menerajui semula pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan itu akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

“Amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang akan saya galas dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia, hari ini.

Turut hadir pada istiadat itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Mengulas kemenangan BN-PN pada pilihan raya berkenaan, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, kejayaan itu bukan kemenangan peribadi atau semata-mata kemenangan parti politik, sebaliknya mencerminkan keyakinan dan harapan rakyat terhadap masa depan negeri ini.

“Kemenangan ini bukanlah kemenangan saya secara peribadi, bukan juga semata-mata kemenangan parti politik, tetapi kemenangan sebuah keyakinan dan harapan rakyat untuk melihat Melaka terus maju, stabil dan makmur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas kepercayaan yang diberikan kepada BN-PN untuk meneruskan pentadbiran negeri.

Pada PRN Melaka Ke-16, BN-PN memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraih majoriti tiga perempat untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi baki empat kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM ISNIN CUTI KHAS
Next post ‘SAYA KETUA MENTERI UNTUK SEMUA RAKYAT MELAKA’ – AB RAUF