‘SAYA KETUA MENTERI UNTUK SEMUA RAKYAT MELAKA’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERI NEGERI 15 November – Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menegaskan beliau akan menjadi Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik.

Ketua Menteri berkata, mandat yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan sekadar satu kepercayaan, sebaliknya tanggungjawab besar yang perlu dibalas melalui pelaksanaan kerja dan tindakan, bukan hanya janji.

Beliau berkata, semua pihak perlu kembali bersatu selepas berakhirnya persaingan politik sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan usaha membangunkan negeri dapat dilaksanakan secara bersama.

“Saya bukan Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi saya sahaja. Saya adalah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia, hari ini.

Turut hadir pada istiadat itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, tiada rakyat yang harus dipinggirkan, kawasan yang dilupakan atau suara yang diketepikan dalam usaha memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Tidak ada rakyat yang harus dipinggirkan, tidak ada kawasan yang harus dilupakan dan tidak ada suara yang harus diketepikan dalam usaha kita membangunkan negeri tercinta ini,” katanya.

Ab Rauf berkata, walaupun rakyat mempunyai perbezaan pandangan dan pilihan ketika berkempen, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan itu dan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga besar Melaka.

“Pilihan raya telah pun selesai. Kita mungkin berbeza pandangan dan pilihan ketika berkempen, tetapi hari ini, kita perlu kembali bersatu sebagai sebuah keluarga besar Melaka,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraih majoriti tiga perempat untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post ‘INI SATU AMANAH YANG DIGALAS PENUH IKHLAS, JUJUR’ – AB RAUF
Next post TOK LI MAHU BALAS KEPERCAYAAN PENGUNDI, PEMBANGUNAN KUALA LINGGI JADI KEUTAMAAN