KEMENANGAN LENDU JADI AMANAH BESAR, ABDUL HAKIM TEKAD BEKERJA LEBIH KUAT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERI NEGERI 15 November – Kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan sebagai amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Beliau berkata, kemenangan itu menjadi titik tolak untuk dirinya meningkatkan usaha dan komitmen dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.

Menurutnya, mandat yang diberikan pengundi termasuk mereka yang pulang dari luar kawasan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi membawa harapan besar yang perlu diterjemahkan melalui khidmat terbaik.

“Secara peribadinya, ia adalah tanggungjawab dan amanah yang sangat berat untuk saya pikul, untuk saya galas, kerana ia menjadi pengharapan masyarakat terutamanya pengundi-pengundi dalam DUN Lendu, tidak kira di mana mereka berada.

“Ramai juga pengundi dari luar yang pulang semalam dan pastinya ini menjadi satu titik tolak serta permulaan untuk saya bekerja dengan lebih kuat, bekerja dengan lebih baik bagi membantu mensejahterakan masyarakat di dalam DUN Lendu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Pada PRN Ke-16, Abdul Hakim yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 8,296 undi dengan majoriti 6,085 undi, menewaskan pencabarnya, Nazri Ramli daripada Bersatu yang mendapat 2,211 undi.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti berbanding PRN 2021 apabila kerusi berkenaan dimenangi penyandang ketika itu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dengan majoriti 3,104 undi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bekerja keras membantu memastikan kemenangan di DUN Lendu.

Beliau juga menghargai sumbangan penyandang kerusi berkenaan sebelum ini, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, yang turut membantu sepanjang perjalanan kempen.

Mengulas faktor kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini, Abdul Hakim berkata kerjasama BN-PN menjadi antara faktor utama, selain komitmen dan kerja keras seluruh jentera kedua-dua gabungan.

“Ya, pasti itulah antara faktor utama dari segi sistem mekanismenya. Cuma selain daripada faktor itu, ia juga hasil kerja keras semua jentera yang memberikan sesuatu yang sangat bermakna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post FAHAMI MASALAH LOKALITI, RAIS TUMPU KEPERLUAN PENDUDUK SUNGAI UDANG
Next post FAIRUL NIZAM TUMPU USAHA GANTI PAIP LAMA DI ASAHAN