FAIRUL NIZAM TUMPU USAHA GANTI PAIP LAMA DI ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 15 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan akan memberi tumpuan kepada usaha menggantikan paip air lama di kawasan itu bagi mengatasi masalah kerosakan jalan raya serta meningkatkan keselamatan penduduk.

Fairul Nizam berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) termasuk cadangan supaya kerja penggantian paip berkenaan dimasukkan dalam perancangan bajet tahun hadapan.

“Paip lama ini menyebabkan beberapa masalah seperti kerosakan jalan raya yang dikhuatiri jika tidak diganti akan menyebabkan pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan.

“Insya-Allah saya akan cuba untuk segerakan usaha ini termasuk peruntukan bagi tujuan itu dimasukkan dalam bajet pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemenangan dengan majoriti lebih 9,000 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Fairul Nizam berkata, keputusan itu mencerminkan penerimaan positif rakyat terhadap gerak kerja yang telah dirancang dan dilaksanakan sebelum ini.

“Tanggungjawab sebagai Adun perlu dilaksanakan secara berterusan dengan meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kerja akan diteruskan seperti biasa malah terus bermula hari ini seperti yang diarahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang mana setiap wakil rakyat perlu menitik beratkan hal ehwal rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Jelas Fairul Nizam, beliau amat berterima kasih kepada seluruh pengundi khususnya di DUN Asahan atas kepercayaan yang sekali lagi diberikan kepadanya untuk terus berkhidmat dan membawa pembangunan serta menjaga kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post KEMENANGAN LENDU JADI AMANAH BESAR, ABDUL HAKIM TEKAD BEKERJA LEBIH KUAT
Next post KHIDMAT LIMA TAHUN DITERIMA RAKYAT , ‘ACIK ZUL’ SYUKUR TERIMA MANDAT KEDUA