
KHIDMAT LIMA TAHUN DITERIMA RAKYAT , ‘ACIK ZUL’ SYUKUR TERIMA MANDAT KEDUA
SERI NEGERI 15 November – Kemenangan dengan majoriti lebih besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan sebagai tanda penerimaan pengundi terhadap khidmat dan usaha yang diberikan sepanjang lima tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, beliau bersyukur apabila pengundi terus memberikan kepercayaan untuk menerajui kawasan berkenaan bagi penggal seterusnya.
Menurutnya, sepanjang tempoh lima tahun lalu, beliau berusaha sedaya upaya memenuhi permintaan, permohonan serta keperluan bantuan penduduk, selain memastikan setiap aduan mendapat maklum balas daripada agensi kerajaan berkaitan.
“Alhamdulillah, saya pun nak angkat bakul sendiri pun tak boleh. Tetapi sepanjang lima tahun ini, saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi segala permintaan, permohonan dan bantuan.
“Saya akan ambil tindakan dan mesti mendapatkan jawapan daripada agensi-agensi kerajaan. Alhamdulillah, perkhidmatan saya diterima oleh pengundi DUN Taboh Naning,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Zulkiflee yang mesra disapa ‘Acik Zul’ turut merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Taboh Naning yang memberikan mandat kepadanya, selain mengiktiraf sokongan rakan parti termasuk MCA, MIC serta PAS dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang pilihan raya berlangsung.
Katanya, kerjasama serta sokongan jentera parti menjadi antara faktor yang membantu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan.
Beliau berharap kepercayaan yang diberikan itu menjadi pemangkin untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat serta memastikan segala keperluan penduduk terus diberi perhatian.
Pada PRN Melaka Ke-16, Zulkiflee yang mewakili BN memperoleh 6,470 undi dengan majoriti 5,027 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Junainah Sahat yang mendapat 1,443 undi.
Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti sebanyak 3,202 undi berbanding PRN 2021 apabila beliau mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 1,825 undi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


