TOK JEZ SUDAH RANGKA PELAN PEMBANGUNAN SUNGAI RAMBAI LIMA TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 15 November – Pelan pembangunan lima tahun bagi mewajah Sungai Rambai menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Jezlee Pit dalam memastikan mandat diberikan pengundi diterjemahkan kepada manfaat kepada penduduk.

Jezlee berkata, pelan berkenaan merangkumi perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, setiap perancangan itu diharap mampu membawa perubahan positif kepada kawasan berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh penduduk.

“Kita telah rangka satu pelan pembangunan mewajah Sungai Rambai untuk tempoh lima tahun dan insya-Allah kita akan ikut apa yang dirancangkan.

“Ada pelan dalam tempoh setahun dan ada juga dalam tempoh lima tahun, merangkumi perancangan jangka pendek serta jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas mandat yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Jezlee menyifatkannya sebagai amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk menunaikan janji kepada warga Sungai Rambai.

“Terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan, termasuk mereka yang mendoakan dan membantu kempen menerusi pelbagai platform,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, Jezlee yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 9,610 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Aminuddin Abdul Jalil yang meraih 2,112 undi dan calon Bebas, Norrizan Jantan dengan 486 undi.

Kemenangan itu menyaksikan beliau memperoleh majoriti 7,498 undi bagi kerusi DUN Sungai Rambai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post KHIDMAT LIMA TAHUN DITERIMA RAKYAT , ‘ACIK ZUL’ SYUKUR TERIMA MANDAT KEDUA
Next post TIDAK TUNGGU LAMA, AZRIL TERUS BEKERJA SELEPAS MENANG DI REMBIA