‘SAYA TIDAK PILIH BULU, SEMUA PENDUDUK TABOH NANING SAYA BANTU’

Masa Membaca:59 Saat

SERI NEGERI 18 November – Tidak membezakan fahaman politik atau latar belakang dalam menyalurkan bantuan menjadi prinsip yang terus dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau berkata, sejak diberikan mandat pada 2021, keutamaan diberikan kepada kebajikan seluruh penduduk di kawasan berkenaan tanpa mengira kecenderungan politik, selagi mereka merupakan warga DUN Taboh Naning.

Katanya, pendekatan itu akan diteruskan pada penggal kedua bagi memastikan setiap permohonan dan keperluan penduduk mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya sebenarnya pada 2021, apabila diberikan mandat, tidak pernah memilih parti ataupun bulu dalam menguruskan permohonan-permohonan.

“Bagi saya, selagi mereka warga DUN Taboh Naning dan juga pengundi DUN Taboh Naning, saya akan sedaya upaya membantu mereka. Insya-Allah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Zulkiflee yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning dengan memperoleh 6,470 undi dan majoriti 5,027 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Junainah Sahat yang memperoleh 1,443 undi.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti sebanyak 3,202 undi berbanding PRN 2021 apabila beliau memenangi kerusi sama dengan majoriti 1,825 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post PENAT CUCI RUMAH, PERABOT ROSAK, PENDUDUK HARAP BANJIR BERULANG DINOKTAHKAN