
KEBAJIKAN WARGA EMAS, EKONOMI BELIA JADI HARAPAN RAKYAT
REMBIA 22 November – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui Kerajaan Negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) disambut positif oleh rakyat yang mahukan kesinambungan pembelaan terhadap semua golongan dan pemerkasaan ekonomi tempatan.
Peniaga, Mohamad Amirul Nizuan, 33, berkata, mandat besar yang diberikan kepada kepimpinan negeri itu perlu segera diterjemahkan dengan menyantuni golongan warga emas, khususnya mereka yang uzur dan tidak lagi berkemampuan untuk bekerja.
“Tahniah kepada BN kerana memenangi PRN Melaka. Harapan saya apabila sudah menang ini, pihak kerajaan dapat melihat dan membantu warga emas yang tidak mampu bekerja.
“Bagi usahawan muda pula, kami sangat perlukan bantuan untuk mengembangkan perniagaan. Paling utama, kami harap urusan pinjaman dipermudahkan kerana peniaga muda sering berdepan masalah ketiadaan modal,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pasar Alor Gajah, di sini, pada Selasa.
Mohamad Amirul juga berharap kepimpinan peringkat akar umbi, khususnya wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang baharu, mengekalkan corak perkhidmatan pantas dan efisien.
Jelasnya, legasi kepimpinan terdahulu yang membawa pendekatan ‘Wakil Rakyat untuk Rakyat’ terbukti amat berkesan dan perlu diteruskan agar setiap aduan masyarakat diselesaikan segera.
Beliau juga menggesa pihak berwajib dan wakil rakyat untuk segera meninjau keadaan kebersihan di Pasar Alor Gajah yang terjejas akibat masalah najis burung sejak sekian lama.
Tegasnya, ketiadaan jaring halangan menyebabkan burung bebas memasuki ruang niaga, sekali gus mencemarkan imej pasar tersebut di mata pengunjung luar serta menjejaskan keselesaan aktiviti harian peniaga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


