PENIAGA HARAP AZRIL TERUSKAN KECEMERLANGAN YB ALONG

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

REMBIA 20 November – Khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan yang mesra disapa sebagai YB Along, terus segar dalam ingatan serta dihargai oleh peniaga di Pasar Alor Gajah.

Peniaga-peniaga tersebut menyifatkan beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang banyak menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan sentiasa pantas menghulurkan bantuan bagi menjaga kebajikan masyarakat di kawasan berkenaan.

Muhammad Rizwan Rosman, 35, berkata, keprihatinan Fairul Nizam amat dirasai apabila beliau kerap turun padang dan menyokong jualan peniaga tempatan secara terus untuk tujuan amal.

“YB Along sangat bagus. Walaupun bergelar penyelaras sebelum ini, beliau banyak membantu penduduk di sini. Beliau selalu menyokong perniagaan saya dengan membeli buah-buahan dalam kuantiti yang banyak untuk disedekahkan kepada orang ramai.

“Pada saya, pimpinan yang ada ini cemerlang dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pasar Alor Gajah, di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, komuniti peniaga kini menaruh harapan tinggi agar wakil rakyat DUN Rembia yang baharu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Norazril Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai YB Azril, dapat meneruskan legasi perkhidmatan cemerlang yang telah ditinggalkan itu.

Rata-rata peniaga menyifatkan Azril sebagai seorang yang cukup mesra dengan penduduk memandangkan beliau merupakan anak jati kawasan berkenaan serta sudah lama dikenali oleh masyarakat setempat.

Komuniti peniaga berharap Azril dapat menjadikan rekod cemerlang Fairul Nizam sebagai penanda aras utama dalam merangka inisiatif dan gerak kerja sokongan yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Corak kepimpinan yang efisien serta pendekatan turun padang tanpa birokrasi rumit yang diamalkan sebelum ini diharap dapat diserap sepenuhnya oleh beliau.

Muhammad Rizwan menambah, kelangsungan sokongan terhadap peniaga kecil amat ditagih bagi merancakkan semula ekonomi setempat dan memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Kita mahu YB Azril meneruskan usaha baik YB Along dan pada masa sama, perkenalkan inisiatif yang jauh lebih baik khusus untuk membangunkan serta membantu golongan peniaga kecil di Alor Gajah.

Jika pendekatan kepimpinan lalu dapat dikekalkan dan ditambah baik, ia pasti memberi impak yang sangat positif kepada rakyat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

324
Kongsi :
Previous post PORTFOLIO BAHARU, CABARAN BERBEZA BUAT KHAIDHIRAH