
ADUAN RAKYAT TIDAK TERHENTI SELEPAS KEMPEN, DIRA AMBIL TINDAKAN
SERI NEGERI 18 November – Aduan rakyat yang dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, khususnya membabitkan masalah banjir kilat, sistem saliran dan kerosakan infrastruktur menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, beberapa pertemuan bersama agensi berkaitan sudah diadakan bagi mengenal pasti punca permasalahan serta merangka tindakan penyelesaian, termasuk isu yang berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, antara tumpuan awal adalah mengenal pasti lokasi panas banjir kilat serta meneliti punca kejadian limpahan air bagi membolehkan langkah mitigasi lebih berkesan dilaksanakan.
“Untuk tempoh terdekat ini, kita mahu selesaikan dahulu aduan yang diterima sepanjang kempen, antaranya menangani isu banjir kilat di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
“Untuk isu ini, kerjasama dengan agensi berkaitan diperlukan kerana mereka merupakan agensi teknikal yang bertanggungjawab dalam pengurusan sistem saliran.
“Misalnya, dalam kejadian semalam di beberapa kampung termasuk Kampung Terentang, kita sudah turun padang dan mengenal pasti punca berlakunya limpahan air. Ini akan membantu dalam proses mitigasi banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, masalah sistem saliran dan kumbahan di taman perumahan lama turut akan diberi perhatian memandangkan kemudahan sedia ada semakin usang dan tidak lagi bersesuaian dengan keperluan semasa.
Katanya, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan sistem berkenaan dapat berfungsi dengan lebih baik, sekali gus mengelakkan masalah berulang yang boleh menjejaskan keselesaan penduduk.
“Kebanyakan sistem saliran dan kumbahan di taman perumahan lama ini sudah usang, ketinggalan zaman dan perlu dikemas kini supaya sesuai dengan keadaan sekarang.
“Isu ini bukan disebabkan kelemahan pentadbiran kerajaan atau mana-mana pihak, sebaliknya membabitkan sistem lama yang perlu diperbaiki dan ditambah baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa permohonan berkaitan kebajikan penduduk termasuk bantuan membaik pulih rumah yang masih belum diselesaikan sebelum PRN turut akan diteliti dan diusahakan sebaik mungkin.
Katanya, kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan penting bagi memastikan setiap aduan mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya, bukan sahaja dalam mengurangkan risiko banjir kilat, malah meningkatkan keselesaan dan keselamatan masyarakat setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

