TIDAK KEJAR ATAU MEMINTA-MINTA JAWATAN, ITU PENDIRIAN ADUN PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 19 November – Tidak pernah mengejar atau meminta jawatan, sebaliknya bersedia memikul apa juga amanah yang diberikan menjadi pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Rafie Ahmad menjelang pelantikan barisan Exco Melaka esok.

Beliau berkata, prinsip itu dipegang sejak awal penglibatannya dalam politik, termasuk ketika dicalonkan oleh parti untuk bertanding di DUN Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Menurutnya, sebagai ahli PAS, beliau dididik supaya tidak meminta-minta jawatan kerana setiap amanah yang diberikan perlu diterima dengan penuh tanggungjawab dan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya memang tidak pernah mengejar jawatan, tidak pernah meminta. Malah, untuk menjadi calon pun saya tidak meminta kerana semuanya terserah kepada kepimpinan untuk menentukan.

“Tetapi apabila sesuatu amanah itu diberikan kepada kita, kita perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Itu yang diajar dalam Islam, jangan meminta-minta jawatan kerana apabila diberikan amanah, pikullah tanggungjawab itu sebaik mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai kemungkinan dipilih atau tidak menganggotai barisan Exco bagi penggal baharu, Rafie berkata, keutamaan beliau tetap untuk meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Katanya, sebarang tanggungjawab tambahan yang diberikan kelak akan dilaksanakan dengan penuh komitmen demi kepentingan rakyat.

“Saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Jika ada amanah tambahan diberikan, insya-Allah kita akan usahakan dan laksanakan sebaik mungkin.

“Saya percaya apabila kita berbuat baik kepada orang lain, Allah SWT akan membantu dan orang juga akan mengingati kebaikan yang kita lakukan,” katanya.

Pelantikan barisan Exco Melaka bagi penggal baharu dijadual berlangsung esok, dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan seramai 10 wakil rakyat akan menganggotai barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post RIDHWAN AKTIFKAN SEMULA ADUAN KOMUNITI UNTUK WARGA AYER MOLEK