
‘TERIMA KASIH MAIM, SUMBANGAN INI BESAR MAKNA BUAT SEKOLAH’
PENGKALAN BATU 19 November – Sumbangan alat siar raya menerusi Tabung Amal Jariah Negeri Melaka yang dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) disifatkan amat bermakna kepada pihak sekolah dalam memudahkan pengurusan perhimpunan serta pelaksanaan pelbagai aktiviti murid.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun (K), Mohd Faiz Mohd Nandari, 40, berkata peralatan baharu itu membolehkan pihak sekolah menguruskan sistem penyampaian maklumat dengan lebih mudah kerana sifatnya yang mudah alih.
Menurutnya, alat siar raya berkenaan boleh digunakan di pelbagai lokasi termasuk kantin, surau dan kawasan perhimpunan mengikut keperluan sekolah.
“Terima kasih kepada MAIM dan penyumbang-penyumbang Tabung Amal Jariah yang menyalurkan sumbangan ini kepada pihak sekolah.
“Sebelum ini kami mempunyai sistem siar raya tetap, manakala peralatan mudah alih sedia ada pula mengalami masalah bateri. Jadi, dengan adanya peralatan baharu ini, urusan kami menjadi lebih mudah kerana boleh dibawa dan digunakan di pelbagai lokasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Mohd Faiz mewakili sekolahnya menerima sumbangan itu pada Program Sumbangan Peralatan Kepada Sekolah-Sekolah Negeri Melaka Daripada Manfaat Hasil Kutipan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka MAIM Bagi Tahun 2026 yang disempurnakan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad di Lobi Pusat Balai Islam Melaka, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kuala Linggi, Nur Alia Azaman, 26, menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai penghargaan besar kepada warga sekolah, khususnya institusi pendidikan di kawasan luar bandar.
Katanya, bantuan itu dapat memudahkan urusan pengendalian program dan aktiviti sekolah, sekali gus memberi manfaat kepada murid.
“Terima kasih kepada MAIM dan juga semua pembayar zakat serta penyumbang yang prihatin terhadap keperluan kami, khususnya sekolah di luar bandar.
“Kami amat menghargai sumbangan ini kerana ia dapat memudahkan urusan dan pelaksanaan program sekolah untuk anak-anak,” katanya.
Nur Alia berkata, pihak sekolah sebelum ini turut menerima bantuan MAIM untuk pelajar termasuk menerusi bantuan fidyah, namun sumbangan alat siar raya kali ini memberikan manfaat secara langsung kepada keperluan pengurusan sekolah.
Kedua-dua wakil sekolah itu turut merakamkan penghargaan kepada MAIM dan semua penyumbang Tabung Amal Jariah atas keprihatinan membantu menyediakan kemudahan peralatan yang dapat dimanfaatkan warga sekolah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


