
PENGALAMAN URUS HAL EHWAL MASYARAKAT JADI BEKALAN MUHAMMAD AHYAD
SERI NEGERI 19 November – Pengalaman menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Khas (Hal Ehwal Masyarakat) sebelum ini menjadi bekalan penting buat Datuk Muhammad Ahyad Abdullah dalam menjalankan tugas baharunya sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka.
Beliau berkata, pengalaman turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat sebelum ini membolehkannya memahami pelbagai permasalahan rakyat, sekali gus membantu mengenal pasti pendekatan terbaik untuk menangani isu berbangkit di peringkat akar umbi.
Menurutnya, pendekatan mendekati masyarakat yang telah menjadi sebahagian daripada tugasnya sebelum ini akan diteruskan dalam kapasiti baharu bagi memastikan kebajikan dan permasalahan rakyat terus diberi perhatian.
“Sudah pastinya sebagai Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat, saya sudah terbiasa turun ke lapangan untuk membantu menyelesaikan masalah, khususnya isu-isu yang berbangkit dalam kalangan masyarakat.
“Jadi, alhamdulillah pengalaman ini akan saya bawa terus sehingga sekarang walaupun saya sudah dilantik sebagai Setiausaha Politik YAB,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat serta Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Mengulas lanjut, Muhammad Ahyad berkata, pengalaman berkenaan membolehkannya meneruskan pendekatan turun padang tanpa kekok, selain mengekalkan hubungan rapat dengan masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab baharunya.
“Ini satu pengalaman yang saya fikir, insya-Allah, saya tidak kekok untuk turun padang dan bersama masyarakat bagi membantu sekiranya terdapat perkara atau masalah yang berbangkit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


