
TUNAI JANJI MANIFESTO JADI MISI SETPOL KETUA MENTERI
SERI NEGERI 19 November – Memastikan setiap janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 ditunaikan menjadi keutamaan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah.
Muhammad Ahyad berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang akan digalas sebaik mungkin, khususnya dalam membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menyelaras dan memperkukuh usaha pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, tumpuan awal selepas pembentukan Kerajaan Negeri adalah memastikan agenda dan perancangan yang digariskan sepanjang tempoh pilihan raya dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan demi manfaat rakyat.
“Perancangan kita selepas pilihan raya ini, sudah pastinya Ketua Menteri telah membentangkan manifesto yang menjadi tawaran kita sepanjang tempoh pilihan raya.
“Insya-Allah, manifesto itulah yang akan kita bawa dan pastikan setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat, khususnya di Melaka, dapat ditunaikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat serta Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Dalam pada itu, Muhammad Ahyad merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
Beliau berkata, akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu Ketua Menteri menjayakan agenda pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Ini satu tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepada saya untuk membantu beliau dalam usaha pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
“Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

