
JPKK TULANG BELAKANG SAYA, PEMACU KEMAJUAN LENDU – ABDUL HAKIM
LENDU 19 November – Kerjasama erat antara wakil rakyat dan pemimpin komuniti menjadi antara kunci utama dalam memastikan agenda pembangunan serta kebajikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, peranan pemimpin komuniti, khususnya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), amat penting dalam membantu menyelaras gerak kerja pembangunan serta memastikan setiap keperluan rakyat diberi perhatian sewajarnya.
Menurutnya, meskipun masih baharu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, beliau bersyukur kerana menerima sokongan padu daripada pemimpin komuniti dan pelbagai pihak yang komited untuk bersama-sama membawa kemajuan kepada Lendu.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk bermesyuarat bersama 12 pengerusi JPKK di Japerun Lendu. Perjumpaan dalam suasana penuh muafakat ini dimanfaatkan untuk berbincang mengenai isu setempat, aduan penduduk dan kaedah memperkukuhkan lagi kerjasama antara saya serta barisan JPKK.
“Pengerusi JPKK ialah suara masyarakat peringkat kampung. Insya-Allah, kita terus bermuafakat dan bekerja bersama demi warga Lendu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi JPKK DUN Lendu di Bilik Mesyuarat Japerun Lendu, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada beberapa cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan Japerun Lendu kepada penduduk setempat.
Katanya, setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh pengerusi JPKK akan diteliti sebelum tindakan lanjut dilaksanakan bagi memastikan penambahbaikan yang dirancang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“Semua cadangan dikongsikan kepada saya amat bermanfaat. Kita akan maklumkan selepas ini kerana perlu menetapkan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai,” katanya.
Abdul Hakim berharap kerjasama erat antara pihak Japerun, JPKK dan masyarakat setempat dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap isu serta keperluan penduduk di DUN Lendu dapat ditangani secara menyeluruh.
Usaha itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam membentuk pentadbiran yang lebih responsif, prihatin dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


