PENIAGA KECIL MAHU MELANGKAH JAUH, HARGAI KEPIMPINAN KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 19 November – Peralihan daripada penggunaan khemah kepada premis perniagaan kekal antara kemudahan yang dihargai peniaga kecil, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran perniagaan lebih selesa kepada golongan itu.

Peniaga minuman, Mohd Azlin Abdullah berkata, perubahan itu dapat dirasai peniaga di kawasan Pinggiran Sungai MITC apabila mereka tidak lagi perlu memasang dan membuka khemah setiap kali menjalankan perniagaan.

Menurutnya, penyediaan premis tetap bukan sahaja memudahkan urusan peniaga, malah memberikan keselesaan lebih baik kepada pelanggan yang berkunjung.

“Kalau seperti saya, perkara paling ketara ialah Kerajaan Negeri sebelum ini menyediakan bangunan untuk kami peniaga kecil di sini.

“Sebelum ini kami berniaga menggunakan khemah, tetapi sekarang sudah mendapat bangunan tetap tanpa perlu lagi membuka khemah setiap kali hendak berniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas harapan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri bagi penggal baharu, Mohd Azlin berharap lebih banyak inisiatif bantuan dapat diperkenalkan bagi membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, bantuan berbentuk geran dan penyediaan peralatan perniagaan antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan beban modal, selain membantu peniaga meningkatkan kapasiti perniagaan.

“Saya lihat setakat ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, nasib peniaga kecil terbela dan saya berharap usaha sebegini dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Salamah Hamid berharap pentadbiran baharu Kerajaan Negeri dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif serta menyalurkan bantuan bersesuaian bagi membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, bantuan berkenaan amat bermakna kepada peniaga yang berdepan kekangan modal, khususnya golongan asnaf sepertinya.

“Seperti saya yang terdiri dalam kategori asnaf, diharap akan ada bantuan atau medium untuk membantu saya mengembangkan lagi perniagaan memandangkan faktor modal menjadi antara kekangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Kongsi :
Previous post 5 PENYANDANG, 5 MUKA BAHARU ANGKAT SUMPAH EXCO MELAKA