5 PENYANDANG, 5 MUKA BAHARU ANGKAT SUMPAH EXCO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 19 November – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bagi membentuk barisan pentadbiran baharu Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pelantikan barisan Exco baharu itu menyaksikan lima penyandang dikekalkan dalam barisan kepimpinan negeri.

Lima penyandang itu adalah Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau); Datuk Rais Yasin (BN-Sungai Udang); Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas); Datuk Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau).

Sementara itu, lima muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri ialah Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-Ayer Molek); Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Kelebang); S Nadarajah (BN-Gadek); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-Bukit Katil).

Majlis berkenaan juga disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat serta Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Pelantikan itu melengkapkan barisan kepimpinan Exco Kerajaan Negeri Melaka bagi penggal baharu dalam meneruskan agenda pembangunan dan pentadbiran negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post JPKK TULANG BELAKANG SAYA, PEMACU KEMAJUAN LENDU – ABDUL HAKIM
Next post PENIAGA KECIL MAHU MELANGKAH JAUH, HARGAI KEPIMPINAN KETUA MENTERI