
PENGALAMAN KAWAL PENYAKIT KETIKA BENCANA BEKALAN RIDZUAN GALAS TUGAS EXCO
SERI NEGERI 19 November – Pengalaman mengawal penyakit ketika bencana dan latar pengajian dalam kesihatan persekitaran menjadi bekalan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dalam menggalas tugas sebagai Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil itu berkata, beliau pernah terlibat secara langsung dalam kerja kawalan penyakit ketika bencana sepanjang berkhidmat di Jabatan Kesihatan.
“Saya dalam bidang pengajian kesihatan persekitaran dan pekerjaan sebelum ini, jadi kalau berkaitan alam sekitar memang salah satu bidang saya.
“Kalau sebut tentang bencana, di Jabatan Kesihatan dulu memang saya terlibat secara langsung berkenaan dengan kawalan penyakit berjangkit,” katanya.
ketika ditemui selepas istiadat angkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka di Dewan Seri Utama, Kompleks Seri Negeri, hari ini.
Ditanya sama ada beliau menjangkakan pelantikan itu, Muhammad Ridzuan mengakui amanah berkenaan di luar jangkaannya memandangkan latar kerjayanya dalam bidang kesihatan.
“Saya tidak menjangkakan pelantikan di bawah portfolio itu namun saya menerima dan saya percaya ada hikmah dan kebaikan yang diberikan Allah S.W.T untuk tujuan ini,” katanya.
Muhammad Ridzuan, 42, mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 2003 hingga 2006.
Ketika berkhidmat di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, antara tugasnya ialah melaksanakan program pencegahan dan kawalan penyakit serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan penyakit berjangkit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


