EXCO MELAKA WAJIB KEMUKA PELAN PELAKSANAAN MANIFESTO DALAM 100 HARI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 19 November – Setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka diwajibkan mengemukakan pelan pelaksanaan manifesto mengikut portfolio masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama bagi memastikan setiap komitmen kepada rakyat diterjemahkan kepada tindakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pelan berkenaan perlu dilengkapi sasaran, tempoh pelaksanaan serta hasil yang mahu dicapai supaya kemajuan setiap inisiatif dapat dinilai dengan jelas.

Selain itu, beliau memaklumkan, Melaka Coordination and Delivery Unit (MCDU) juga akan terus diperkasa bagi menyelaras serta memantau pelaksanaan dasar, projek dan keutamaan Kerajaan Negeri.

“Ini bagi memastikan tiada komitmen daripada manifesto yang tercicir,” katanya pada ucapan taat setia Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ab Rauf turut mengingatkan barisan EXCO supaya tidak menjadikan mesyuarat, pengumuman atau majlis perasmian sebagai ukuran utama prestasi, sebaliknya memberi tumpuan kepada keputusan dan penyelesaian yang membawa perubahan kepada rakyat.

“Kita bukan dilantik untuk sekadar memperbanyak mesyuarat, memperhebat pengumuman atau sekadar merasmikan program. Kita diberi amanah untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membawa perubahan,” katanya.

Beliau berkata, budaya kerja itu perlu berteraskan kesepaduan seluruh barisan kepimpinan negeri dengan satu hala tuju dan matlamat untuk membina Melaka lebih maju serta memastikan setiap rakyat menikmati manfaat pembangunan.

“Satu pasukan, satu hala tuju, satu matlamat untuk membina Melaka yang lebih maju dan memastikan setiap rakyat merasai nikmat kemajuannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post JELAJAH TERIMA KASIH RAKYAT DEKATI MASYARAKAT, DENGAR ASPIRASI – AB RAUF
Next post 1,500 UMAT ISLAM BERHIMPUN, TANDA KESYUKURAN DAN DOA UNTUK MELAKA