BAN HONG MAHU JADI EXCO MAMPU SEJAHTERAKAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 20 November – Datuk Wira Lim Ban Hong akan meneruskan usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan negeri dan bertekad memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri itu berkata, setiap tanggungjawab yang diberikan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri mempunyai matlamat sama iaitu memenuhi keperluan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, perbezaan bidang tugas tidak seharusnya menjadi kekangan kerana setiap peranan yang digalas anggota pentadbiran saling melengkapi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya fikir setiap tugas, tidak kira tanggungjawab itu di mana, sebenarnya merupakan satu tanggungjawab kepada rakyat dan masyarakat.

“Setiap peranan yang kita mainkan ini menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Saya fikir itu menjadi pegangan dan prinsip kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Khamis.

Ban Hong menafikan wujud sebarang isu antara beliau dengan penyandang terdahulu portfolio berkenaan, Datuk Ngwe Hee Sem susulan perubahan barisan kepimpinan Exco negeri.

Sebaliknya, beliau merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan Hee Sem sepanjang menerajui portfolio kesihatan sebelum ini, selain merancang mengadakan perbincangan bersama beliau serta pasukan kesihatan negeri bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Selepas ini juga saya akan berbincang dengan beliau dan begitu juga pasukan yang bertanggungjawab tentang kesihatan negeri Melaka supaya kita dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang baik untuk masyarakat setempat,” katanya.

Ban Hong berkata, pelantikan beliau sebagai Exco bersama seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada MCA sebagai Timbalan Exco akan dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kerjasama dengan rakan-rakan lain dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, kerjasama berpasukan itu penting bagi memastikan setiap amanah dapat dilaksanakan, selain merealisasikan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

184
Kongsi :
Previous post PENIAGA HARAP AZRIL TERUSKAN KECEMERLANGAN YB ALONG