
HAMEED MAHU PERKUKUH INFRASTRUKTUR ASAS, TANGANI RISIKO BANJIR
SERI NEGERI 19 November – Menangani isu banjir serta memastikan kemudahan infrastruktur asas terus berada pada tahap baik menjadi keutamaan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer selepas diberi kepercayaan menerajui semula portfolio Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri.
Hameed berkata, tumpuan akan diberikan kepada keperluan asas rakyat termasuk kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik bagi memastikan kesejahteraan serta keselesaan penduduk di seluruh negeri terus terpelihara.
Menurutnya, aspek penyelenggaraan sistem saliran termasuk longkang dan kolam tadahan turut diberi perhatian kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan usaha mengurangkan risiko serta menangani masalah banjir.
“Infrastruktur asas iaitu jalan raya, air dan elektrik adalah fokus utama saya selain memberikan perhatian kepada usaha menangani banjir dengan menyediakan kemudahan bersesuaian seperti longkang-longkang dan kolam-kolam tadahan.
“Tumpuan yang paling utama adalah isu-isu banjir. Walaupun saya tidak memegang portfolio yang melibatkan bencana, namun ia berkait rapat untuk penyelesaian masalah banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau itu turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan mengekalkannya menerajui portfolio sama dalam barisan pentadbiran baharu.
Menurutnya, amanah berkenaan akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan segala perancangan dan tanggungjawab di bawah portfolio itu dapat diteruskan dengan lancar.
“Syukur alhamdulillah, ini kepercayaan dan tanggungjawab yang diberi oleh Ketua Menteri untuk memegang portfolio yang sama.
“Insya-Allah saya akan cuba menunaikan tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

