RM9.5 JUTA PACU PEMBANGUNAN, MPJ PERKUKUH KEMUDAHAN JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

JASIN 22 November – Peruntukan pembangunan berjumlah RM9.5 juta direkodkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sehingga Oktober 2026 bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan prasarana awam di daerah itu terus diperkasa.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, sebanyak RM9,506,910.17 peruntukan pembangunan direkodkan menerusi pelbagai sumber termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Landskap Negara.

Katanya, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam menyelaras pelaksanaan projek pembangunan dengan memberi perhatian kepada keperluan infrastruktur dan prasarana awam.

“Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan itu turut memberi penekanan kepada keperluan masyarakat setempat bagi memastikan kemudahan awam terus ditambah baik demi keselesaan penduduk.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan kemudahan awam selain menyokong kesejahteraan serta keselesaan penduduk di seluruh daerah Jasin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, penyelarasan dan pemantauan berterusan penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta memenuhi keperluan setempat.

Tambahnya, komitmen tersebut selaras dengan usaha berterusan membangunkan Jasin sebagai sebuah daerah yang lebih maju, mampan dan sejahtera.

“MPJ akan terus mempergiat penyelarasan dan pemantauan projek pembangunan bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kepentingan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post KERUSI RODA BAHARU, SINAR KECERIAAN BUAT ADIK FAWZIAH