MAIM TAJA 20 MUALAF, KAKITANGAN TUNAI UMRAH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 23 November – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan RM200,000 bagi menaja 20 peserta menunaikan ibadah umrah tahun ini, merangkumi kakitangan agensi itu dan golongan mualaf.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, tajaan berkenaan membabitkan 10 kakitangan MAIM dan 10 mualaf dengan setiap peserta menerima pembiayaan kira-kira RM10,000.

Menurutnya, jumlah tajaan itu merangkumi kos perjalanan serta wang perbelanjaan sepanjang tempoh 12 hari berada di Tanah Suci, dengan keseluruhan kos ditanggung sepenuhnya oleh MAIM.

“Alhamdulillah, tahun ini MAIM memperuntukkan RM200,000 dan usaha itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan peluang kepada kakitangan dan golongan mualaf untuk menunaikan ibadah berkenaan tanpa dibebani kekangan kewangan.

“Keseluruhan kos ditanggung sepenuhnya oleh MAIM termasuk wang perbelanjaan bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah umrah dengan lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta program umrah MAIM di Pusat Islam, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, program yang diperkenalkan sejak 2011 itu bermula dengan tajaan seorang peserta sebelum diperluaskan kepada 20 peserta setiap tahun bermula 2023.

Katanya, tajaan berkenaan bukan sahaja menjadi penghargaan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang, malah membuka peluang kepada golongan mualaf kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Bagaimanapun, katanya, pemilihan peserta mualaf dilaksanakan menerusi sesi temu duga bagi memastikan penerima yang dipilih memenuhi kriteria ditetapkan.

“Untuk tahun ini, hanya seorang lelaki tampil menyertai proses pemilihan. Sehubungan itu, saya ingin menggalakkan lebih ramai golongan mualaf khususnya lelaki supaya tampil mengambil peluang yang disediakan MAIM pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan sebagai salah satu usaha MAIM memperluas peluang kepada golongan yang memerlukan untuk menunaikan ibadah umrah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post TAK TUNGGU LAMA, DR. AKMAL TUBUH JAWATANKUASA TANGANI ADUAN LIPUTAN TELEKOMUNIKASI