MUZIUM SAMUDERA BAKAL BERWAJAH BAHARU, AKAN DITUTUP SEMENTARA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 28 November – Muzium Samudera yang menempatkan replika kapal bersejarah Flor de La Mar bakal ditutup sementara sehingga 18 bulan bagi membolehkan kerja pembaikan dan naik taraf secara menyeluruh dilaksanakan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, kerja berkenaan dijangka bermula penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan, dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan sekitar setahun setengah.

Katanya, skop pembaikan merangkumi penggantian keseluruhan dinding dan lantai kayu kapal serta pembaharuan reka bentuk dalaman, manakala struktur utama kapal berkenaan akan dikekalkan.

“Untuk Kapal Flor de La Mar, ia akan ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan secara menyeluruh. Penutupan dijangka mengambil masa setahun setengah atau paling lama dua tahun.

“Kerja naik taraf itu bertujuan memberikan penampilan baharu kepada kapal selain meningkatkan tahap keselesaan pengunjung yang berdepan beberapa masalah kerosakan pada kemudahan sedia ada.

“Struktur utama kapal kita kekalkan, cuma semua dinding kayu akan diganti dan reka bentuk dalaman juga akan diperbaharui. Selepas itu kita akan mempunyai sebuah kapal berwajah baharu,” katanya.

Menurut Erne, kerja pembaikan berskala besar terakhir di Muzium Samudera itu dilaksanakan sekitar 2004, manakala kerja penyelenggaraan selepas itu dilakukan secara berperingkat setiap tahun.

Bagaimanapun, pendekatan pembaikan secara kecil-kecilan menyebabkan masalah kerosakan berulang, sekali gus mendorong PERZIM memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja naik taraf secara menyeluruh.

“Untuk itu, kita telah menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi membolehkan kerja pembaikan dan naik taraf dilaksanakan.

“Fokus utama bukan sekadar memperbaharui penampilan kapal, tetapi memastikan pengunjung dapat menikmati pengalaman lawatan yang lebih selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

270
Kongsi :
Previous post 700 MERIAHKAN SAMBUTAN BULAN KELUARGA MELAKA