TAK TUNGGU LAMA, DR. AKMAL TUBUH JAWATANKUASA TANGANI ADUAN LIPUTAN TELEKOMUNIKASI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 23 November – Masalah liputan telefon dan internet di Melaka menjadi antara perkara awal diberi perhatian Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh apabila beliau segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras tindakan menangani isu berkenaan.

Langkah itu diambil pada mesyuarat pertama portfolio Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri yang dipengerusikannya, susulan sebanyak 672 aduan diterima membabitkan kawasan yang mengalami gangguan atau langsung tidak mempunyai liputan telefon dan internet.

Dr. Muhamad Akmal berkata, daripada jumlah itu, daerah Jasin merekodkan aduan tertinggi sebanyak 325, diikuti Alor Gajah dengan 182 aduan manakala Melaka Tengah mencatatkan 165 aduan.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan menyelaraskan tindakan semua pihak berkaitan supaya setiap aduan yang diterima dapat diteliti dan diberikan perhatian dengan lebih teratur.

“Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat pertama di bawah portfolio saya dan segera menubuhkan jawatankuasa untuk menangani masalah liputan telefon serta internet di Melaka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Terdahulu, mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Ahmad Norazril Abdul Aziz serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, jawatankuasa berkenaan akan melibatkan kerjasama syarikat telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Melaka ICT Holdings (MICTH) serta pihak berkaitan.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak itu penting bagi membolehkan isu liputan yang dibangkitkan penduduk diselaraskan secara bersama, sekali gus mempercepatkan usaha mengenal pasti tindakan yang bersesuaian.

“Dengan penglibatan ini, ia akan menjadi lebih cepat untuk memastikan aduan yang disalurkan dapat diatasi serta dibuat sehabis baik,” katanya.

Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal menerusi hantaran di laman Facebook rasminya turut meminta rakyat Melaka, khususnya penduduk di kawasan yang masih berdepan masalah berkaitan liputan telekomunikasi, supaya memaklumkan perkara itu bagi membolehkan isu berkenaan dikenal pasti dan diambil tindakan.

Usaha itu diharap dapat membantu pihak berkaitan mendapatkan maklumat lebih menyeluruh mengenai kawasan yang memerlukan perhatian, selain memperkukuh penyelarasan penyelesaian masalah telekomunikasi di seluruh negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

996
Kongsi :
Previous post PERPUSTAKAAN DESA BUKAN SEKADAR TEMPAT MEMBACA, JADI PUSAT AKTIVITI KOMUNITI
Next post MAIM TAJA 20 MUALAF, KAKITANGAN TUNAI UMRAH