
SUNGAI DAN PESISIR PANTAI MELAKA BAKAL LEBIH MENARIK, PPSPM LONJAK MUTU PERKHIDMATAN
AYER KEROH 25 November – Produk pelancongan sungai dan pesisir pantai Melaka bakal diperkasa menerusi pelbagai penambahbaikan kemudahan serta peningkatan mutu perkhidmatan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menjelang 2027.
Inisiatif itu dirancang bagi memastikan produk pelancongan kendalian agensi berkenaan terus berdaya saing, selain menawarkan pengalaman lebih berkualiti dan selesa kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, perancangan berkenaan diberi perhatian menerusi penyediaan Belanjawan PPSPM 2027 yang meneliti keutamaan peruntukan serta hala tuju pembangunan produk dan operasi agensi.
Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan tidak seharusnya tertumpu kepada pengenalan produk baharu semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan kemudahan yang lebih baik dan perkhidmatan berkualiti.
“Fokus kita bukan sahaja kepada pembangunan produk pelancongan baharu, tetapi turut merangkumi penambahbaikan kemudahan dan mutu perkhidmatan supaya pengunjung mendapat pengalaman lebih baik.
“Aspek pembangunan produk pelancongan sungai dan pesisir pantai akan terus diberi perhatian bagi memastikan potensi kedua-dua segmen itu dapat dimanfaatkan dalam merancakkan industri pelancongan negeri pada tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, penyediaan belanjawan itu turut mengambil kira keperluan operasi agensi bagi memastikan setiap perancangan dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik serta menepati hala tuju ditetapkan.
Jelasnya, PPSPM komited meneruskan usaha memperkukuh produk pelancongan di bawah seliaannya melalui pendekatan pembangunan kemudahan, peningkatan mutu perkhidmatan dan penambahbaikan pengalaman pengunjung secara berterusan.
“PPSPM juga komited meneruskan usaha memperkukuh produk pelancongan kita menerusi pendekatan pembangunan kemudahan, peningkatan perkhidmatan dan penambahbaikan pengalaman pengunjung.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan daya saing produk PPSPM, sekali gus menyokong aspirasi Melaka untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.
Perancangan itu dijangka menjadi antara usaha berterusan PPSPM dalam memanfaatkan potensi pelancongan sungai dan pesisir pantai sebagai tarikan penting yang menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

